jom support saya

Saturday, July 17, 2010

Keamanan Malaysia rahmat Allah

Keamanan Malaysia rahmat Allah

Oleh: DUSUKI AHMAD
SAYA masih ingat apa yang dikatakan oleh Al-Marhum Dr. Ismail Faruqi ketika lawatan beliau ke Malaysia suatu ketika dahulu. Jika tidak silap Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berada dalam majlis tersebut.
Katanya: ``Kamu di Malaysia sepatutnya setiap pagi sebaik saja bangun dari tidur, terus saja mengucap alhamdulillah (tahmid) seratus kali, kerana matahari di langit kamu masih ada. Kamu di bumi ini boleh menunaikan ibadat rukun Islam dengan sempurna. Kamu bebas bekerja tanpa ada gangguan. Kamu boleh hidup baik dengan anak isteri. Dan kamu boleh lakukan segala-galanya.
``Tetapi hari ini di kebanyakan negara lain, bangun saja pada waktu pagi, fikiran diganggu dengan soalan, apakah ada makanan pada hari ini? Bahkan belum tentu apakah dia boleh hidup sampai petang nanti.''
Ismail Faruqi melahirkan kata-kata ini adalah atas kesedaran dan keinsafan beliau tentang masalah yang dihadapi oleh umat Islam sejagat. Rata-ratanya lemah, miskin dan jahil.
Pentadbiran politik di beberapa negara tidak stabil dan ekonomi tidak terurus. Akibat daripada itu kehidupan sosial mereka porak-peranda dan kucar-kacir.
Berlakunya demikian kerana kebanyakan negara Islam hari ini tidak mempunyai pemimpin yang berjiwa besar dan berwawasan jauh. Mereka tidak tahu membaca realiti masyarakat dan tuntutan semasa. Mereka hanya pemimpin yang pandai bercakap semata-mata dan tidak tahu bekerja.
Hal sedemikian tidak berlaku di bumi Malaysia ini dan insya-Allah tidak akan berlaku selama rakyat dapat menghayati amaran Allah (as-Saf 2 dan 3) yang bermaksud: ``Wahai orang beriman, mengapa kamu berkata perkara yang kamu tidak melakukannya. Besar dosanya di sisi Allah ke atas kamu yang hanya pandai berkata sesuatu yang kamu tidak melakukannya.''
Pemimpin-pemimpin Malaysia sebelum ini dan sekarang ini telah berjaya mentadbir negara dengan baik dan menjaga rakyatnya dengan sempurna.
Kita mampu menjadi contoh ikutan kepada negara-negara lain walaupun ada pelbagai halangan dan rintangan ciptaan pembangkang dan orang tertentu untuk menggagalkan kejayaan itu dengan berbagai-bagai cara dan helah, tetapi aktiviti jahat mereka tidak mendapat keizinan Allah.
Sesungguhnya sembahyang hajat yang bertali arus secara beramai-ramai di masjid dan di stadium tidak memihak kepada mereka. Mereka amat arif perkara ini bahawa Allah tidak menolong pada perkara-perkara yang batil dan sesat. Tetapi mereka sembunyikan hakikat itu bagi tujuan kepentingan politik pilihan raya mereka.
Di negara-negara Islam yang lain ramai remaja yang tahap kecerdikan mereka sama atau lebih daripada anak-anak kita. Malangnya pentadbiran negara berkenaan tidak merancang kemudahan pembelajaran seperti di Malaysia ini. Dengan demikian kehidupan sosial mereka tidak berubah dan tidak maju.
Kalaulah saya pada waktu ini ditakdirkan sebagai rakyat di sebuah negara Islam di Timur Tengah, saya mestilah seorang peladang di padang pasir memelihara unta dan biri-biri.
Anak-anak saya juga mungkin menjadi peladang dan cucu-cucu saya akan datang pun akan menjadi penternak unta dan biri-biri juga.
Jika saya pada waktu ini merupakan rakyat Indonesia atau Filipina atau India atau Burma atau lain-lain, saya dengan berat hati dan penuh sedih terpaksa meminta anak-anak saya berhijrah ke Malaysia untuk menjadi pembantu rumah atau buruh di kilang-kilang dan ladang. Saya akan beritahu mereka bahawa peluang kerja di Malaysia lumayan, pemimpinnya baik dan rakyatnya mesra.
Itulah Malaysia, negara indah lagi diredhai Allah. Rakyatnya mewah dan semua orang suka berhijrah ke sini semata-mata untuk menumpang kasih sesuap nasi dengan negara ini.
Kepada anak-anak saya dan generasi mereka, saya meminta mereka supaya bersyukur ke hadrat Allah dan berterima kasih kepada kerajaan. Allah telah membuka minda pemimpin-pemimpin kita dengan kebijaksanaan merancang dan kecekapan melaksanakan program-program untuk rakyat sehingga mereka berada di tahap ini.
Saya mahu mereka berbangga sebagai rakyat Malaysia walaupun mereka tidak bangga saya sebagai bapanya.
Kenanglah jasa pemimpin-pemimpin yang berjaya mewarnakan keadaan yang ada sehingga ia dapat dinikmati oleh semua.
Pemimpin adalah manusia. Dan yang hendak ditadbirkan itu juga adalah manusia. Maka sudah tentu ada kelemahannya. Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah mengakui kelemahannya sebagai manusia. Dia memberi ruang terbuka kepada sesiapa saja untuk menegurnya. Tetapi teguran itu biarlah dengan akhlak dan adab yang tinggi menurut adab ikhtilaf yang telah ditentukan oleh Islam.
Sekurang-kurangnya dengan penuh hikmah dan bijaksana menurut saluran yang betul, tidak secara menabur fitnah, mencipta cerita-cerita menggemparkan, membuat andaian-andaian yang negatif sehingga boleh mengganggu ketenteraman awam.
Tetapi malangnya peluang memberi teguran yang diberi itu tidak digunakan secara beradab dan berakhlak. Lebih kepada putar belit, mengadu dumba, menghina, mencerca, memfitnah dan menggelar dengan nama-nama yang bertujuan menghina dan menimbulkan kekecohan masyarakat.
Mujurlah Malaysia ini mempunyai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan melalui undang-undang biasa, ia boleh diselamatkan melalui ISA. Aktiviti kurang ajar yang bertindak secara agresif bercampur emosi dan mencabar keselamatan orang ramai, maka ketika itulah ISA dipergunakan setelah mendapat nasihat daripada pihak keselamatan.
Tindakan seumpama ini adalah wajar dan selaras dengan kaedah syariah: ``Mengelak dan menghindarkan daripada kemusnahan itu (dar-ul-mafasid) hendaklah diberi keutamaan daripada menarik kemuslahatan (jalbul-masoleh). Apabila berhadapan dengan dua kecelakaan (ad-dharar) maka hindarkan dahulu kecelakaan atau kemudaratan yang lebih besar.''

No comments:

Post a Comment